Pemain berusia 35 tahun itu berhijrah ke pasukan Sang Kancil selepas kontraknya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tamat pada hujung musim ini.

Amri yang menyertai MU de­ngan kontrak selama setahun mengakui tawaran yang diberikan kepadanya sukar ditolak meskipun pilihan utamanya selepas JDT adalah negeri kelahirannya, Se­langor.

“Sebenarnya selepas tamat kontrak bersama JDT, saya menantikan tawaran daripada Selangor tetapi selepas Melaka datang memberikan tawaran saya tidak menunggu lama untuk membuat keputusan.

“Secara peribadi saya percaya ini adalah pilihan tepat kerana Melaka merupakan pasukan yang dahagakan kejayaan dan mereka sudah membuktikan kecemerla­ngan sejak dua musim lalu,” katanya selepas mendatangani kontrak secara rasmi bersama pasukan MU di sini, hari ini.

Amri juga menegaskan bahawa dia tidak kisah digelar kuda tua sambil menyifatkan itu sebagai pandangan masing-masing terhadap usianya.

“Saya tidak kisah dengan gelaran itu kerana berdasarkan rekod, saya tidak pernah ponteng latihan atau mengalami sebarang masalah disiplin dengan mana-mana pasukan yang saya sertai,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Seri Idris Haron mengakui cukup teruja dengan kehadiran nama besar seperti Amri ke dalam pasukan itu, selain percaya pemain berkenaan mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu.

“Dia merupakan pemain yang memiliki kualiti, selain pengalaman luas dalam bola sepak dan agak sukar buat kami untuk tidak mengemukakan tawaran kepadanya.

“Peluang mendapatkan khidmatnya sesuatu yang sukar ditolak dan saya percaya dia merupakan pemain yang memiliki keupayaan setara dengan pemain muda berdasarkan kekuatan mental yang dimilikinya,” kata Idris.

Sepanjang kariernya, Amri sudah menjulang pelbagai trofi kejuaraan termasuk Piala AFC, selain tiga kejuaraan Liga Super berturut-turut dan Piala FA bersama JDT. Selain itu, dia turut menjulang dua trofi Piala Malaysia, dua kejuaraan Liga Super serta tiga Piala FA sepanjang 12 tahun bersama Selangor.