Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, tiada perlawanan playoff akan dilakukan untuk mengisi slot yang ditinggalkan The Red Warriors, jika penarikan diri itu berlaku memandangkan kesemua pasukan Liga Perdana sudah pun membuat persiapan menghadapi musim baharu.
“Sangat jauh (perbezaan tahap saingan) antara Liga Super dan Liga Perdana. Kalau kita laksanakan (playoff) pada saat akhir…mungkin tiga minggu sebelum sepak mula, pasukan-pasukan ini berkemungkinan akan menghadapi masalah pada musim depan.
“Jadi untuk berlaku adil, kita mungkin akan cadangkan kepada pihak lembaga untuk mendapatkan kelulusan. Tetapi kemungkinan kita akan cuba beraksi dengan 11 pasukan. Bermakna, tiada yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan Kelantan.
“Bagaimanapun, saya harap penarikan diri ini tidak akan terjadi kerana Kelantan merupakan salah satu pasukan yang mempunyai pengikut yang ramai dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini hari ini.
Kelantan kini dalam keadaan tersepit apabila perlu mencari dana berjumlah RM14.2 juta hanya dalam tempoh dua minggu, bagi memastikan mereka bernyawa dalam saingan Liga M musim depan.
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, setakat ini, dana terkumpul daripada sumbangan penaja sekitar RM800,000 iaitu jumlah yang terlalu kecil untuk menampung perbelanjaan pasukan yang memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Afandi yang juga Timbalan Presiden FAM mengesahkan PKNS FC tidak berdepan masalah dan boleh bersaing dalam musim baharu Liga Super nanti.
Jelasnya, PKNS langsung tidak pernah melanggar perjanjian perkongsian penyertaan sebaik Liga M diswastakan sejak Januari lalu, biarpun The Ants mengalami kemelut dengan badan gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Sejak menandatanganinya pada Januari lalu, pasukan-pasukan yang bertanding di dalam Liga Super dan Liga Perdana secara automatik adalah rakan kongsi kepada penswastaan itu di bawah FMLLP,” katanya.