Selepas DRB Hicom menarik diri daripada Liga M musim depan akibat masalah kewangan, kini dua lagi pasukan – Kelantan dan Perlis berkemungkinan besar mengambil tindakan serupa ekoran kekangan kewangan.
Kelantan dan Perlis masing-masing meminta bantuan kerajaan negeri untuk membolehkan pasukan itu terus bersaing dalam kancah bola sepak negara, tahun depan.
“Saya tidak fikir kerajaan negeri patut lagi memberi dana kepada pasukan.
“Kalau kita mahu swastakan liga mesti ada badan yang mampu membiayai pasukan tersebut. Jadi ini (kewangan) adalah masalah yang kronik jika tidak dapat diatasi dengan cara menyeluruh, bukan hanya menjejaskan Kelantan tapi pasukan lain.
“Saya harap satu struktur lebih mantap dapat diperkenalkan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan persatuan-persatuan bola sepak negeri supaya perkara ini tidak menjadi masalah kepada pasukan lain.
“Cakap memang mudah berbanding melakukannya (penswastaan liga). Kalau mahu swastakan liga pun perlu ada entiti yang boleh membiayainya. Kalau tidak ada entiti atau kata sepakat kemudian anda akan ada dua pasukan dari negeri yang sama sebagai contoh Selangor dan PKNS FC,” katanya.
Khairy ditemui selepas perlawanan akhir Piala Supermokh 2016 yang menyaksikan skuad bola sepak bawah 14 (B 14) Malaysia di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Malaysia Cougars muncul juara selepas menumpaskan wakil Portugal, Sporting CP B 14 1-0 di Padang Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Bukit Jalil.
DRB Hicom menjadi pasukan pertama menarik diri daripada Liga M musim depan ekoran keadaan ekonomi semasa.
Kemudian, giliran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi bagi pengurusan skuad Kelantan dalam saingan Liga M 2017.
Bagaimanapun keputusan terakhir akan dibuat menerusi kongres luar biasa badan induk itu pada 29 Disember.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) pula tidak menolak kemungkinan mengikut jejak langkah Kelantan ekoran masalah kewangan yang membelenggu.