Keputusann itu sekali gus memadam spekulasi mengenai perpindahan penyerang prolifik berkenaan ke pasukan lain selepas dia dikatakan menerima tawaran daripada beberapa negeri untuk mendapatkan khidmatnya.
Memetik kenyataan terbaharunya dalam laman sosial Facebook, pemain import kelahiran Montenegro itu kini hanya mahu fokus untuk membawa Melaka United mencapai kejayaan selepas kembali beraksi dalam Liga Super.
Penjaring terbanyak Liga Perdana itu berkata, dia sudah memaklumkan kepada pihak pengurusan untuk menolak semua tawaran daripada pasukan lain yang berminat dengannya.
“Setelah banyak kenyataan dan spekulasi palsu mengenai masa depan maka saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu kepada penyokong yang saya akan terus bermain buat pasukan Melaka United musim depan.
“Setelah menjaringkan 27 gol pada musim lalu, saya amat berbangga banyak kelab di Malaysia membuat tawaran untuk mendapatkan khidmat tetapi saya sayangkan pasukan ini dan hasrat saya adalah untuk bermain di Melaka selagi khidmat masih diperlukan.
“Kini fokus saya adalah untuk mengetuai pasukan ini mencapai pelbagai kejayaan,” kata pemain yang digelar ‘Spasogoal’ dan turut fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
Spasojevic yang mempunyai baki kontrak setahun bersama Melaka United itu sebelum ini mencipta kejayaan cemerlang bersama pasukan tu sehingga bergelar Juara Liga Premier 2016.