Sarat dengan pelbagai kejayaan, terutama menjulang Piala Malaysia 33 kali, ia pasti satu sejarah hitam dalam bola sepak negara andai Red Giants benar-benar menarik diri daripada liga domestik.

Selangor yang sudah pun menerima tamparan de­ngan perpindahan ­ber­amai-ramai pemain tonggak seperti Ahmad Hazwan Bakri, Shahrom Kalam, Mohd. Hafiz Kamal dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor me­ngakui, menarik diri dari Liga M adalah langkah yang mungkin diambil andai gagal mencari dana bagi menampung perbelanjaan pasukan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Abdul Mokhtar Ahmad berkata, ketika ini mereka belum mempunyai dana mencukupi dan sedang berusaha mencari sumber kewangan, namun jika keadaan memaksa Selangor tiada pilihan kecuali berundur.

Mokhtar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui, FAS terpaksa mengurangkan bajet berbanding musim lalu dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri, sebaliknya perlu mencari tajaan.

“Saya tidak boleh buat keputusan lagi (menarik diri) kerana perlu adakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor yang juga Presiden FAS, Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali.

“Sebelum ini, beliau pernah kata akan bantu FAS namun tidak maklumkan jumlah peruntukan yang akan diberi.

“Saya akui FAS tidak boleh bergantung kepada kerajaan negeri dalam mendapatkan peruntukan dan perlu cari tajaan.

“Kami terpaksa kurangkan bajet, yang mana musim lalu peruntukan kami adalah RM20 juta hingga RM22 juta namun untuk musim depan RM15 juta.

“Kami perlu cari RM15 juta bagi menampung perbelanjaan keseluruhan FAS namun jika gagal dapatkan jumlah itu, kemungkinan besar Selangor menarik diri dari Liga M,” katanya selepas mesyuarat bersama Exco FAS yang berlangsung selama tiga jam di FAS hari ini.

Mokhtar mengakui, keputusan menarik diri sesuatu yang memalukan, terutama melibatkan pasukan gergasi seperti Selangor dan beliau berharap rundingan dengan Menteri Besar dapat menyelamatkan Red Giants.