The Bos Gaurus, sehubungan itu meletakkan harapan menggunung bahawa pemain baharu akan membantu mereka mencapai sasaran berada sekurang-kurangnya anak tangga ketiga liga serta memenangi satu piala musim depan.
Cabaran mereka untuk tahun 2017 juga akan diperkuatkan oleh Hafiz Kamal, Shahrom Kalam, Nazrin Nawi dan Jazrin Jamaluddin yang kesemuanya dibawa masuk tahun ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata pihaknya juga masih mencari dua pemain berpengalaman untuk mengisi posisi tertentu.
Beliau juga berkata Weigang, yang kini berada di luar negara, sedang mengenal pasti seorang pemain import baharu dan pihaknya menjangka boleh mengumumkannya selepas Krismas.
“Dengan kehadiran Mohd. Zaquan, Hafiz Kamal, Shahrom Kalam, Nazrin Nawi dan Jazrin Jamaluddin, kami meletakkan harapan yang tinggi untuk persaingan liga iaitu minimum di anak tangga ketiga sementara untuk kejuaraan, sekurang-kurangnya membawa pulang satu piala.
“Kemudian, yang lain-lain itu kami akan tengok dalam masa terdekat. Kami akan menilai semula, mungkin ada negeri-negeri lain yang akan melepaskan pemain-pemain mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Pafa Ke-58 hari ini.
Perak juga telah mengikat pemain pertahanan Felda United, Idris Ahmad serta dua pemain import baharu iaitu Vladislav Mirchaev dari Bulgaria dan pemain Palestin keturunan Chile, Yashir Armando Pinto Islame.