Perlawanan tumpuan sudah pasti terarah kepada pertembu­ngan di antara juara dan naib juara Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Felda United yang akan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Tidak kurang hebat juga apabila Melaka United, yang merupakan juara Liga Perdana 2016, bakal melayan kunjungan naib juara Liga Perdana, PKNS di tempat sendiri.

JDT yang juga juara Piala FA musim lalu, sudah pasti akan berusaha mengekalkan kejuaraan untuk mendapatkan slot automatik ke persaingan Piala AFC.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Mohd. Fahmy Yahya berkata undian yang diterima itu adalah sesuatu yang baik untuk peminat kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan atau mengumumkan sasaran bagi pertemuan itu.

Katanya, JDT sedang menjalankan persiapan dan latihan seperti biasa bagi memulakan saingan musim 2017 selain sedang merancang untuk mengadakan perlawanan pramusim de­ngan beberapa kelab di Thailand.

“Seperti biasa, kami akan berkunjung ke tempat lawan dan akan memberikan persembahan terbaik dalam persaingan kali ini.

“Bagaimanapun saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini dan sudah pasti Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) akan me­ngadakan sidang akhbar dalam tempoh tedekat bagi menjawab sebarang persoalan mengenai JDT,” kata­nya selepas majlis undian Piala FA 2017, di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, pengurus pa­sukan PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengakui undian yang diterima pasukannya agak sukar memandangkan Melaka berada dalam prestasi terbaik.

“Kami menghormati Melaka sebagai sebuah pasukan kuat, mereka memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan sudah pasti pertemuan ini sukar.

“Kami juga mengharapkan tuah memihak kepada kami untuk menewaskan Melaka di laman mereka sendiri,” katanya.

Pusingan pertama Piala FA akan berlangsung pada 5 Februari dengan 13 pasukan Liga FAM akan berentap dengan tiga daripadanya termasuk KDMM, UKM dan MPKB-BRI U-BES sudah la­yak ke pusingan kedua selepas diberikan bye.