Bekas pemain Selangor itu berkata, zaman kegemilangan skuad Red Giants pada era 70-an dan 80-an banyak dibantu penglibatan pihak istana dan beliau berharap, Tengku Amir Shah dapat berbuat demikian seperti yang pernah dilakukan ayahandanya.

“Saya yakin semua peminat mengharapkan RMS dapat bersama dengan Selangor. Pada masa dahulu, kami cukup kagum dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dahulunya RMS. Baginda bersama-sama kami berada di atas padang sehingga menjadikan Red Giants pasukan digeruni.

“Paling tersentuh selepas latihan, Tuanku sendiri menuangkan teh o untuk pemain dan berborak bersama kami. Dulu, (hubungan) kami dengan pihak istana cukup erat. Sebab itu tiada permasalahan tentang pentadbiran dalam Selangor seperti yang terjadi pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Utusan Malaysia, kelmarin melaporkan kemelut melibatkan pengurusan FAS mendapat perhatian RMS menerusi akaun rasmi Instagramnya, dengan me­nyarankan agar ‘orang lama’ dalam persatuan tersebut berundur secara terhormat.

Sementara itu, pemain Selangor era 90-an, Shahril Arsat berpandangan, segala kemelut dalam pentadbiran persatuan hanya dapat diselesaikan jika FAS bertindak mengikut apa yang disarankan oleh Tengku Amir Shah.

Seorang lagi pemain Selangor era 70-an, Zulkifli Norbit pula berkata, maruah Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali akan tercalar jika mereka bertindak menarik diri daripada kancah Liga Malaysia pada musim hadapan.