Bos Reds itu sebelum ini mengakui bahawa dia terbuka untuk membuat pembelian pada Januari disebabkan penyertaan Sadio Mane dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika, selain kecederaan panjang yang dialami Philippe Coutinho dan Danny Ings.
Klopp juga berkata, Anfield merupakan tempat terbaik untuk mana-mana pemain yang ingin menonjolkan bakat, dengan Philippe Coutinho, Roberto Firmino, Adam Lallana dan Divock Origi, kesemuanya mempamerkan peningkatan sejak jurulatih warga Jerman itu tiba di Liverpool, musim lalu.
“Mungkin ada beberapa kelab dalam dunia bola sepak yang membolehkan anda bermain lebih baik. Jika anda berupaya pergi ke sana, dipersilakan.
“Pada masa ini, apa yang boleh saya katakan, Liverpool merupakan tempat yang cukup baik untuk anda membangunkan prestasi dan memperoleh pencapaian cemerlang dalam karier.
“Saya pernah cakap dalam beberapa bulan lalu bahawa pasukan terkuat di dunia, mereka tidak banyak berubah, mereka maju bersama-sama, kemudian bawa pemain baharu masuk dan sebagainya.
“Mereka seterusnya akan mempamerkan peningkatan yang pada pengakhirannya anda memiliki pasukan terbaik,” kata Klopp kepada Liverpool Echo.
Klopp turut mempersoalkan logik berhubung perpindahan, Carlos Tevez ke Shanghai Shenhua dan Oscar pula ke Shanghai SIPG dengan nilai perpindahan 60 juta pound (RM330.92 juta) pada Januari ini.
Tegasnya, Liverpool tidak akan membuat sebarang langkah untuk pemain yang hanya dipengaruhi dengan bayaran gaji lumayan.
“Pemain boleh meraih pendapatan lumayan di sini, tetapi kami tidak gila buat tawaran yang tidak masuk akal,” tegas Klopp.