Gol perancang kreatif Armenia itu terhasil daripada umpanan dari sebelah sayap kanan oleh Zlatan Ibrahimovic sebelum sentuhan penyudah berbisa Mkhitaryan itu memastikan penjaga gol Sunderland, Jordan Pickford tertewas di gawangnya.
Jaringan tersebut mengingatkan kepada sepakan ‘kala jengking’ popular yang dilakukan penjaga gol Colombia, Rene Higuita yang dilakukannya ketika menentang England pada 1995 sementara jaringan yang dilakukan Mkhitaryan pula dilakukan di dalam kotak penalti lawan walaupun pemain itu dilihat berada dalam keadaan offside.
“Saya menjangkakan bola akan dihantar ke depan. Namun, ketika saya sudah ke hadapan, hantaran silang yang dilakukan berada di belakang.
“Jadi, hanya satu sahaja yang boleh dilakukan adalah mengambil peluang itu dengan menggunakan tumit belakang. Saya lakukannya dan berjaya,” katanya kepada MUTV.
Mkhitaryan dimasukkan pada babak kedua selepas diketepikan dua perlawanan kerana kecederaan buku lali yang diterima ketika kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur, minggu lalu.