Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, badan induk itu berharap pihak yang berhasrat untuk menaja TRW diminta tampil untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung hasrat tersebut.
“Kafa sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang berhasrat untuk menaja pasukan Kelantan musim 2017 nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama Barisan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK) di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu tajaan Kelantan musim hadapan.
Yang turut hadir Penyerlaras BBBSK, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Nor.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi redONE dan syarikat pengeluar produk kesihatan, OAR Teguh Sdn. Bhd menyatakan kesediaan untuk menaja TRW musim depan selepas Kafa berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa menarik diri dari saingan 2017 jika gagal mendapat dana yang cukup.
Setakat ini Kafa hanya mempunyai RM800,000 dan memerlukan RM14.2 juta jika mahu terus bersaing.