Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohammad Haniff Rana Manzor berkata, Menteri Besar Selangor itu sepatutnya berjumpa barisan Exco FAS dan membuat keputusan drastik bagi menghentikan kemelut yang sedang melanda pengurusan persatuan.
Menurutnya, Mohamed Azmin adalah individu terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut demi mangangkat maruah bola sepak negeri.
“Menteri Besar (Mohamed Azmin) selaku Presiden FAS kena turun padang jumpa Exco.
“Mereka kena bincang secara elok seterusnya menyelesaikan masalah,” kata Mohammad Haniff dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Presiden Kelab Selangor Arrogant, Hamzah Che Hassan.
Semalam, sumber memberitahu, majoriti Exco FAS bersetuju untuk memohon Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menerajui badan induk tersebut dalam usaha mencari jalan penyelesaian menamatkan kemelut yang masih membelenggu.
Difahamkan, 17 daripada 19 Exco FAS sedang cuba mengatur pertemuan dengan Tengku Amir Shah bagi menyatakan hasrat tersebut.
Malah, pertemuan itu juga bagi menjelaskan hal sebenar berkaitan isu dalaman badan induk terbabit.
Mohammad Haniff menambah, pihaknya tidak berniat untuk campur tangan dalam pentadbiran dan pengurusan FAS sebaliknya mahu memastikan maruah pasukan kesayangan mereka tidak terjejas.
Jelasnya, SSFC akan menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan FAS asalkan tujuannya demi kebaikan semua pihak.
“Tugas kita hanyalah menyokong dan kita akan berdiri di belakang FAS demi kegemilangan bola sepak Selangor,” ujarnya.