Selepas dua tahun menerajui FAS, Azmin mengumumkan pe­ngundurannya bersama pengurus pasukan Red Giants, Amirudin Shari.

Kata Mohamed Azmin, tindakan tersebut diambil kerana kecewa dengan barisan kepe­mimpinan FAS yang didakwa tidak bersedia membawa perubahan kepada pembangunan bola sepak negeri ini.

“Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat Selangor.

“Sehubungan itu, saya dan Amirudin mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama dengan sebuah organisasi dan pengurusan yang tidak berwibawa dan tidak komited dengan agenda perubahan demi menjamin kegemilangan bola sepak Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengunduran Mohamed Azmin daripada menerajui FAS kini menimbulkan persoalan, siapa bakal mengisi kekosongan jawatan tersebut ketika Liga Malaysia (Liga M) 2017 tinggal tiga minggu untuk membuka tirai dan Selangor memerlukan jaminan kewangan bagi menghadapi cabaran pada musim baharu.

Dengan ketiadaan Mohamed Azmin, tumpuan kini terarah kepada Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah yang sebelum ini menjadi harapan Exco FAS untuk menerajui badan induk bola sepak itu.

Sumber dalaman FAS pada 27 Disember lalu memberitahu Utusan Malaysia, 17 daripada 19 ahli Exco badan itu bersetuju untuk memohon Tengku Amir menjadi Presiden baharu bagi memastikan kecemerlangan bola sepak Selangor dapat diteruskan tanpa unsur politik.

Menurut sumber berkenaan, semua Exco hanya menunggu masa yang sesuai untuk menghadap Tengku Amir bagi menjelaskan situasi sebenar FAS dan perancangan yang akan dilakukan bagi menentukan hala tuju Red Giants.

Kemelut yang melanda FAS sejak beberapa bulan ini menyebabkan masa depan Red Giants, pasukan paling cemerlang dalam sejarah bola sepak tempatan berdepan bahaya, termasuk penghijrahan beramai-ramai tonggak seperti Ahmad Hazwan Bakri, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, R. Gopinathan, Shahrom Kalam dan Mohd. Hafiz Kamal.

Malah, penyokong Selangor, yang selama ini melihat Red ­Giants sebagai pasukan yang kukuh daripada segi kewangan turut dikejutkan dengan berita pemain mereka tidak menerima gaji bulan November, selain bonus atas kejayaan melayakkan diri ke final Piala Malaysia.

Sementara itu, Naib Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai peletakan jawatan Mohamed Azmin esok.