Wenger menyifatkan jaringan tersebut tergolong dalam lima gol terbaik Gunners sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai pengurus Arsenal.
Gol tersebut terhasil selepas Giroud menyambar bola berpunca daripada hantaran lintang Alexis Sanches menggunakan tumit belakangnya.
Ketika penyokong Arsenal bercakap mengenai gol menarik yang berjaya dihasilkan sepanjang kelab mereka, tumpuan pasti terarah kepada jaringan Dennis Bergkamp ketika menentang Leicester City dan Newcastle United kemudian kehebatan Nwankwo Kanu sewaktu bertemu Chelsea dan seterusnya legenda Gunners, Thierry Henry.
Wenger percaya Giroud yang sering diletak di bangku simpanan musim ini layak berada sebaris dengan semua legenda pasukan.
“Dia menukar gol tersebut kepada seni. Ia menjadi seni kerana penuh dengan kejutan dan detik jaringan tersebut sangat indah.
“Setiap penyerang akan mengingati satu atau dua atau tiga gol tercantik mereka dan jaringan tersebut pasti akan diingati Giroud.
“Jaringan seperti itu sudah tentu tidak diduga dan kami dalam bola sepak pasti mahukan sesuatu yang tidak diduga. “Peminat mahu melihat gol seperti ini. Sepanjang karier saya sudah melihat banyak gol menarik yang dihasilkan oleh penyerang hebat.
“Jaringan istimewa Bergkamp dan Henry namun ini pasti termasuk dalam lima gol tercantik,” kata Wenger.
Sementara itu, Giroud mengakui nasib benar-benar menyebelahinya sehingga membolehkan dia melakukan jaringan seperti tendangan kala jengking dan mengakui tidak pernah bermimpi untuk menghasilkan gol seperti itu.
“Tuah benar-benar menyebelahi saya, semua mengenai nasib. Tidak pernah saya melakukan seperti ini sebelum ini. Saya bernasib baik kerana bola berada di belakang dan saya cuba menyepaknya menggunakan tumit belakang,” kata Giroud.
Gol tersebut dihasilkan beberapa hari selepas pemain Manchester United, Henrikh Mkhitaryan turut menghasilkan jaringan hampir sama ketika bertemu Sunderland.
“Mungkin gol itu menjadi inspirasi saya. Itu sahaja perkara yang anda boleh lakukan jika berada di kedudukan tersebut,” kata penyerang Perancis itu lagi.