Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beberapa pemain musim lalu termasuk kesemua pemain import tidak dikekalkan bagi memboleh­kan tenaga baharu disuntik ke dalam pasukan itu.

Katanya, pihak pengurusan memilih untuk menggabungkan ramuan pemain senior dengan pemain muda dari skuad Piala Presiden.

“Kali ini, kita mempunyai ba­nyak masa menyediakan pasukan dan mendapatkan pemain lebih awal berbanding sebelum ini.

“Kita juga telah cuba dan lihat banyak pemain import, hampir 30 orang. Pemain yang dipilih mempunyai prestasi baik di peringkat kelab mereka.

“Saya lihat dalam liga di negara ini yang membawa banyak perbezaan adalah pemain import, manakala kemampuan pemain tempatan agak sama.

“Kali ini pasukan kita dapat pemain import berkualiti dan mampu memberi saingan dalam Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Memperkenalkan Pemain Pasukan Liga Perdana, Piala Pre­siden dan Piala Belia di Klana Resort di sini semalam.

Yang turut hadir pengurus pa­sukan Liga Perdana, Satwant ­Singh; Ketua Jurulatih, Mohd. Asri Ninggal dan Pengarah Teknikal, Jorg Peter Steinebrunner.

Pasukan itu menggunakan ­khidmat empat tenaga import iaitu Lee Andrew Tuck, 28, dari England; Nemanja Vidic, 28, (Serbia); Marko Simic, 28, (Croatia) dan Brunojunichi Suzukicastanheira, 27, (Jepun).

Dalam pada itu, Mohamad mengingatkan semua pemain supaya beraksi sebagai satu pasukan dan membentuk semangat kerjasama dalam menghadapi saingan musim ini.

“Tidak perlu ada seorang hero dalam pasukan sebaliknya kena ada semangat berpasukan untuk muncul juara,” katanya.

Beliau juga tidak mahu badi musim lalu yang menyaksikan prestasi pasukan merosot pada pertengahan musim berulang.

Menurutnya, prestasi pemain juga akan dinilai selepas setiap perlawanan dan dijadikan rujukan sebelum sesuatu tindakan yang perlu diambil seperti memotong gaji jika mempamer prestasi hambar.

“Ini kerjaya mereka dan perlu bersikap sebagai pemain profesional. Sudah tentu kita boleh nampak mana satu pemain yang bermain dengan baik atau buruk,” katanya lagi.