Pengendali Manchester Uni­ted, Jose Mourinho yang dipecat oleh Chelsea musim lalu berkata, kelab lamanya itu mendapat la­yanan ‘istimewa’ dari segi jadual pertandingan.

Pada ketika kebanyakan pasukan terpaksa mengharungi dua perlawanan dalam tempoh 48 jam, Chelsea dan Tottenham diberi tiga hari untuk bertemu sesama sendiri di White Hart Lane, lewat pagi tadi.

Selain Mourinho, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan pe­ngendali Arsenal, Arsene Wenger turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap jadual yang diterima oleh Chelsea.

“Saya tidak boleh jawab perkara ini kerana bukan saya yang membuat jadual.

“Namun, saya rasa mereka tidak berpuas hati dan marah kerana kedudukan kami bukan disebabkan jadual.

“Kami kini berada pada kedudukan teratas dan memiliki rekod kemenangan menakjubkan, sudah tentu ramai yang cemburu,” kata Conte.

Chelsea kini me­nerajui liga dengan kelebihan lima mata ke atas Liverpool, malah memegang rekod 13 kemenangan berturut-turut ketika bertandang ke Tottenham.

Kata Conte, se­perti pasukan lain, Chelsea juga perlu menghadapi jadual padat dengan beraksi dalam tiga perlawanan sepanjang tujuh hari menjelang sambutan Krismas iaitu menenentang West Bromwich Albion, Sunderland serta Crystal Palace.

“Pada awal musim, tiada siapa menjangkakan kami mampu ber­ada pada kedudukan ini, jadi adalah perkara biasa apabila ramai yang terkejut dan kurang gembira.

“Bagi saya, lebih baik bercakap mengenai persiapan sendiri daripada memikirkan tentang pasukan lain,” kata jurulatih dari Itali itu lagi.