Sebelum ini, FAS menggesa agar Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas pengurus pasukan, Amirudin Shari melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi bulan November dan bonus mara ke final Piala Malaysia tahun lalu seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun, Aini berkata, beliau tidak mengetahui intipati perjanjian yang telah dibuat oleh Azmin, tetapi berpendapat FAS mampu menyelesaikan segala hutang tersebut dengan aset yang ditinggalkan oleh Menteri Besar Selangor itu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai janji tersebut. Jadi susah untuk saya beri komen tanpa mengetahui apa-apa. Secara prinsipnya, kalau kita berjanji dan ada keupayaan baguslah diselesaikan kerana itu jalan terbaik, tapi saya tidak tahu bagaimana janji itu dibuat.

“Kalau sudah berjanji baguslah diselesaikan, tapi kalau tidak boleh cakap sahaja tidak boleh. Ini saya bercakap jika benar beliau (Azmin) ada membuat perjanjian.

“Bagaimanapun, selepas Amirudin pernah berkata pasukan ada duit setelah menjual pemain, saya fikir persatuan sepatutnya menyelesaikan hutang dahulu. Apabila persatuan ada duit, gunakan untuk langsaikan hutang dan bakinya barulah fikir perancangan seterusnya.

“Persatuan ada aset (pemain) yang telah disediakan oleh Presiden (Azmin) jadi maknanya jika ada hutang, persatuan boleh selesaikan menggunakan aset yang ada. Dalam erti kata lain, Presiden sudah bertanggungjawab menyediakan aset untuk menyelesaikan hutang yang ada.

“Saya menegaskan saya tidak menyebelahi mana-mana pihak, cuma saya fikir selesaikan hutang barulah budak-budak (pemain) gembira. Tugas pertama selesaikan hutang. Kemudian persatuan berusaha mendapatkan Presiden dan penaja untuk menyediakan pasukan bagi menghadapi musim baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

FAS berdepan masalah apabila Azmin mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama badan induk tersebut selepas hampir dua tahun bersama. Azmin dan Amirudin membuat pengumuman peletakkan jawatan mereka pada 30 Disember lalu.

Keadaan semakin rumit apabila giliran bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan pula tampil menjelaskan bahawa sehingga hari ini dia tidak menerima surat pemecatan rasmi daripada FAS biarpun pernah meminta surat itu seminggu selepas dipecat.

Lebih memeritkan, bekas pengendali Pahang itu menjelaskan, bahawa gaji bulan November dan Disember masih belum diterima, yang mana sepatutnya pihak FAS perlu melangsaikan pampasan baki kontraknya setelah dipecat serta merta pada 6 Ogos lalu.