Dua gol dalam tempoh tiga minit berselang menerusi Aritz Aduriz pada minit ke-25 dan Inaki Williams (minit ke-28) pada pertemuan, hari ini meletakkan tuan rumah selesa mendahului kelab gergasi Sepanyol itu pada babak pertama.
Bagaimanapun, Catalan bangkit merapatkan jurang kedudukan menerusi sepakan bebas menarik Lionel Messi pada minit ke-52, namun tiada jaringan tambahan dijaringkan pelawat sekali pun Bilbao terpaksa beraksi kurang pemain.
Pemain Terbaik Dunia lima kali itu hampir menyelamatkan juara Sepanyol daripada kekalahan, namun cubaannya tersasar beberapa inci apabila sekadar menggegar palang gol selepas dua pemain Bilbao, Raul Garcia dan Ander Iturraspe dibuang padang.
Dalam perlawanan itu, pengendali Barca, Luis Enrique telah menyenaraikan ketiga-tiga penyerang utamanya, Messi, Luis Suarez dan Neymar biarpun memberikan mereka cuti rehat tambahan yang menyaksikan mereka hanya kembali ke kem latihan pada Isnin lalu.
Ini adalah kali keenam Barca dan Bilbao diundi bersama pada kejuaraan tersebut dalam tempoh sembilan musim termasuk tiga di pentas final.
Barcelona muncul pemenang dalam kelima-lima pertemuan terbabit namun, Bilbao tampak tidak mahu mengalah untuk pertemuan kali ini biarpun kelab itu masih lagi dikejutkan dengan berita mengenai pertahanannya, Yeray Alvarez yang didiagnos menghadapi kanser.
Selain dua kad merah kepada Bilbao, perlawanan itu turut dicemari kontroversi apabila Aduriz terselamat daripada dihukum kerana menyiku Samuel Umtiti.