Stam, 44, yang kini membimbing kelab Divisyen 2, Reading akan kembali ke United apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan ketiga di Old Trafford, esok dengan perhatian sudah pasti tertumpu kepada bekas pemain pertahanan kental itu yang menyimpan banyak rahsia dan nostalgia.
Bagaimanapun, Stam enggan menganggap tugas tersebut bukan hadir daripada dirinya seorang sahaja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab seluruh pasukan dan pemain Reading juga yang mahu mencari kemenangan.
“Memang kami ternanti-nanti perlawanan ini. Ia undian yang bagus bukan sahaja buat saya tetapi juga untuk pemain kami. Bermain di Old Trafford di depan 80,000 penonton dan bersaing dengan pemain yang berkualti tentunya satu impian yang tidak akan dilepaskan.
“Semua orang mahu memberikan yang terbaik, mahu memiliki trofi Piala FA yang menjadi kebanggaan dan ia sesuatu yang bagus. Saya gembira dapat kembali ke Old Trafford. Tetapi ini bukan perlawanan untuk saya seorang tetapi pemain saya juga.
“Peluang untuk menang tetap ada. Kami impikan kejutan,” kata Stam yang pernah menjulang banyak piala bersama United sepanjang tiga musim berada di Old Trafford sebelum ini.
Antaranya ialah tiga kali muncul juara Liga Perdana Inggeris dan Piala FA, selain merangkul kejuaraan Eropah pada 1999 yang kesemuanya ketika berada di bawah bimbingan Alex Ferguson.
Bagaimanapun, Stam menyedari United kini bukan lagi di bawah Ferguson sebaliknya Jose Mourinho yang mempunyai sentuhan yang berbeza.
Hasrat untuk melakukan kejutan turut diimpikan satu lagi kelab Divisyen 2, Preston yang bakal menerima kunjungan Arsenal dalam satu lagi aksi pusingan ketiga.