Dalam saingan yang menggunakan format timbal balik itu, United mencerahkan peluang mereka menjelang separuh akhir kedua di Hull City, 26 Januari ini menerusi jaringan Juan Mata dan Marouane Fellaini di babak kedua selepas persembahan hambar di babak pertama permainan.
Walaupun, memperoleh deretan peluang sepanjang perlawanan, United gagal memusnahkan terus harapan Hull lebih awal sebaliknya banyak mensia-siakan percubaan mereka yang mengenai palang dan tiang gol.
Dengan kemenangan itu, peluang untuk Jose Mourinho meraih trofi pertama sejak tiba di United masih berada di landasan terbaik. Ini merupakan kemenangan kesembilan berturut-turut dicatat United dalam sembilan perlawanan terbaru mereka.
Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu tetap kecewa dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya, malah menuntut lebih daripada itu walaupun melakar kemenangan.
“Saya agak kecewa dengan aksi kami dalam babak pertama. Lawan telah mempamerkan aksi tersusun di bahagian pertahanan. Ia bukan mudah untuk kami, dan kami pula agak cuai ketika bermain.
“Kami menyukarkan peluang yang mudah, lewat membuat keputusan sehingga membuka ruang kepada lawan untuk bangkit semula. Hanya di babak kedua ada peningkatan ditunjukkan. Itu pun sedikit sahaja,” kata Mourinho.