Menurut legenda Liverpool itu, walaupun United berada di tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris berbanding Liverpool yang berkedudukan kedua, namun skuad bimbingan Jose Mourinho lebih konsisten pada beberapa minggu terakhir ini.
United mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 14 perlawanan terakhir semua pertandingan dan dipisahkan dengan 10 mata di belakang pendahulu liga Chelsea.
Liverpool pula gagal mempamer aksi meyakinkan dalam tiga perlawanan terakhir apabila tewas 1-0 kepada Southampton dalam separuh akhir Piala Liga kelmarin, seri 0-0 dengan kelab divisyen empat Plymouth di Anfield dalam saingan Piala FA (8 Januari) dan seri menentang Sunderland dalam liga 2 Januari lepas.
Walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Liverpool, namun Carragher percaya anak-anak buah Mourinho memiliki momentum untuk meneruskan prestasi baik, apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri.
“Saya fikir Manchester United adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini.
“Liverpool tidak berada dalam prestasi seperti yang ditunjukkan dua atau tiga minggu lalu, sedangkan Manchester United kekal konsisten, ditambah pula mereka akan beraksi di laman sendiri.
“Saya fikir, dalam situasi United dan Liverpool, mana-mana pasukan yang beraksi di tempat sendiri biasanya akan menjadi pilihan untuk menang.
“Momentum milik United ketika ini dan Liverpool perlu bangkit untuk menjawab kritikan atas prestasi hambar yang ditunjukkan sejak akhir-akhir ini,” kata Carragher kepada Sky Sports.
Sementara itu, Liverpool bakal bertandang ke Old Trafford bersama kebimbangan tidak dapat menurunkan dua tonggak penting iaitu kapten Jordan Henderson dan pemain pertahanan Joel Matip.
Kedua-kedua pemain itu kembali menjalani latihan di Melwood semalam, namun belum kembali ke tahap kecergasan terbaik.
Henderson, 26, tidak beraksi sejak Liverpool mengalahkan Manchester City pada 31 Disember lalu akibat kecederaan tumit. Matip pula mengalami masalah lutut dan tidak beraksi sejak Liverpool diikat 2-2 oleh West Ham pada 11 Disember.
Sepanjang ketiadaan Matip, tempatnya digantikan oleh Ragnar Klavan, namun pemain antarabangsa Estonia itu melakukan kesilapan yang membawa kepada gol kemenangan Southampton yang disempurnakan Nathan Redmond semalam.