Presidennya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah me­ngumumkan insentif itu pada majlis ramah mesra bersama pemain Pulau Pinang tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon di sini.

Ahmad Bashah berkata, insentif berkenaan adalah sebagai penghargaan KFA kepada anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, itu yang telah mengharumkan nama negeri dan negara.

“Sebagai Presiden KFA dan juga Menteri Besar Kedah, saya berasa amat berbangga dengan pencapaian Faiz. Apa yang kita buat ini adalah memberi penghargaan kepada beliau kerana kejayaannya bukan mudah.

“Kita hargai apa yang dicapai Faiz, walaupun dia tak bermain untuk Kedah, dia dah bawa nama Kedah di persada dunia,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Ahmad Bashah juga berharap kejayaan pemain kelahiran Kedah itu akan menjadi suntikan semangat kepada pemain-pemain muda negeri berkenaan agar dapat mencontohi pemain tersebut.

Dalam pada itu, KFA turut mempertimbangkan sumba­ngan lain mengikut keperluan kepada Faiz dan keluarganya.

“Kita juga akan bincang de­ngan pemaju-pemaju perumahan negeri ini agar dapat membantu Faiz memiliki rumah dengan potongan harga tertentu,” katanya.

Sementara itu, Faiz berkata, insentif yang diberikan itu akan menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus mempamerkan prestasi terbaik.

“Saya bersyukur kerajaan negeri menghargai saya sebagai anak jati Kedah dengan insentif ini dan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Faiz juga berkata, dia tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak yang mahukannya menampilkan prestasi lebih baik selepas memenangi Anugerah Puskas itu.

Turut hadir dalam majlis semalam Timbalan Presiden KFA, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.