Turun sebagai juara Piala Malaysia, skuad Lang Merah mengikat 10 pemain JDT 1-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, sebelum menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.
Kegagalan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dua tahun berturut-turut memberi permulaan sumbang buat pengendali baharu JDT, Benjamin Mora.
Skuad Harimau Selatan memulakan kempen dengan langkah kanan selepas mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-39.
JDT dihadiahkan penalti selepas pemain import mereka, Brian Federico Ferreira dikasari dalam kawasan penalti.
Safiq tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti dengan melakukan rembatan leret ke penjuru kanan gawang bagi mengatasi penjaga gol Abd. Hadi Abdul Hamid.
Bagaimanapun keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama selepas pemain mereka, S. Kunanlan dibuang padang pada waktu kecederaan babak pertama gara-gara mengkasari Mohd. Fakri Saarani di luar kotak penalti.
Berdepan 10 pemain lawan memberi peluang kepada Lang Merah untuk mendominasi permainan.
Selepas mengatur asakan bertali arus, Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi rembatan lencong kapten Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti.
Ini adalah kejuaraan Sumbangsih ketiga yang dimenangi Kedah selepas 1994 dan 1991, sekali gus menjadikan mereka calon untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.
Malah, Kedah yang dibimbing jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe menunjukkan peningkatan hebat pada hujung musim lalu apabila menamatkan kempen di tangga ketiga, sebelum menutup saingan dengan mengalahkan Selangor dalam final Piala Malaysia.
Bagi JDT, saingan musim baharu pasti lebih mencabar, terutama dengan menampilkan jurulatih baharu, Mora. Mereka bagaimanapun bermula dengan berkongsi satu mata liga.