Selepas hampir tersingkir ke Liga Perdana gara-gara menjual ramai bintang, Pahang bukan sahaja kembali membawa masuk nama besar musim ini, malah menagih semula sentuhan jurulatih legenda, Dollah Salleh yang telah membawa mereka muncul juara Piala Malaysia dua kali.

Pemain-pemain bintang yang bakal menghiasi skuad Tok Gajah musim ini diketuai Joseph Kalang Tie, Ahmad Syamim Yahya, Nurridzuan Abu Hassan dan ramai lagi.

Situasi itu memberi kelebihan kepada Dollah, yang juga bekas pemain Pahang dari 1991 hingga 1996 untuk memilih barisan terbaik bagi diturunkan di Stadium Perak.

“Kita ada banyak pilihan pemain untuk diturunkan termasuk di posisi tengah.

“Sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama perlu mempamer aksi terbaik bagi mencari kemena­ngan pertama kerana ia mampu membakar semangat untuk me­nempuhi saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Namun, Perak tidak kurang hebatnya musim ini.

Skuad bimbingan Karl-Heinz Weigang berbelanja besar untuk mendapatkan beberapa pemain ternama seperti penyerang kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, Nazrin Nawi, Jasazrin Jamaluddin, Mohd. Hafiz Kamal, Shahrom Kalam dan ramai lagi.

Dalam pada itu, pelbagai kontroversi tercetus sebelum bermulanya musim baharu turut menjadi saingan semakin mencuri tumpuan.

Kemunculan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor dan juara liga 2012 serta 2011, Kelantan menarik perhatian penyokong gara-gara kontroversi yang melanda, termasuk ancaman menarik diri ekoran kekurangan penajaan.

Selangor berdepan kemelut dalaman, namun persiapan mereka tetap berjalan lancar begitu juga Kelantan yang terpaksa mendapatkan bantuan dana daripada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa bagi meneruskan saingan.

Pengendali Red Giants, P. Maniam menegaskan persiapan pa­sukannya tidak terganggu dengan masalah dalaman malah pemain tidak pernah menyentuh mengenai masalah yang me­landa Persatuan Bola Sepak Se­langor (FAS).

“Tidak, pemain tidak pernah menyentuh mengenai perkara tersebut malah mereka juga tidak ada merungut.

“Bertemu Pulau Pinang nanti saya akan menggunakan dua pemain import sahaja iaitu Forkey Doe dan Ugo Ukah.

“Selebihnya kombinasi pemain lama dan baharu,” kata Maniam kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain dua pasukan tersebut, pendatang baharu Liga Super 2017, PKNS FC turut dipalit kontroversi apabila penyertaan mereka tergantung selepas FAS enggan menyokong permohonan kelab tersebut untuk beraksi dalam saingan Liga M pada musim ini.

Namun, PKNS FC mengambil langkah drastik apabila bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS) bagi meneruskan aksi.

Walaupun dilanda kontroversi namun persiapan semua pasukan tetap berjalan lancar dengan kebanyakannya sudah memperkenalkan barisan pemain serta jersi baharu, termasuk PKNS.

Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara hatrik sekali lagi menjadi pilihan untuk merangkul gelaran.