Enam pasukan terbaik Asia bagi undian ini (menurut ranking dunia 12 Januari lalu) yang diasingkan ke Balang 1, menanti skuad Harimau Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee dari Balang 4 bersama-sama Singapura, Kemboja, Nepal, Bhutan dan Macau.
Calon lawan yang kedua getir buat Malaysia pula akan diundi dari Balang 2 yang mengandungi India, Palestin, Tajikistan, Vietnam, Hong Kong dan Turkmenistan seterusnya lawan terakhir mereka dipilih dari Balang 3 di antara Maldives, Lebanon, Yemen, Afghanistan, Taiwan dan Myanmar.
Kelayakan ini juga menjadi indeks prestasi utama (KPI) kedua buat Kim Swee selepas Harimau Malaysia terkandas seawal pusingan Kumpulan B Piala AFF di Yangon, November lalu akibat kekalahan kepada Myanmar dan Vietnam 1-0 sekalipun menewaskan Kemboja 3-2.
Satu lagi KPI yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi jurulatih kelahiran Melaka berusia 47 tahun ini ialah mencapai ranking ke-140 dunia).
Dua belas slot pusingan akhir Piala Asia 2019 juga di Abu Dhabi sudah pun ditempah oleh tuan rumah selain juara bertahan Australia, China, Iraq, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Syria, Thailand dan Uzbekistan yang turut akan terus bertarung bagi tiket pusingan akhir Piala Dunia Rusia 2018.
Kim Swee berkata: “Memang lumrah banyak pihak yang mungkin terus meragui kemampuan pasukan kita untuk melepasi saingan yang lebih getir daripada Piala AFF iaitu Piala Asia (layak sebagai antara dua teratas kumpulan yang diundi nanti).
“Namun kami perlu menjawabnya dengan menghasilkan keputusan yang positif (dalam kempen kelayakan berformat liga berkumpulan timbal balik yang bermula 28 Mac ini) sambil mengadakan persediaan lebih awal menerusi siri perlawanan persahabatan.
“Kita juga akan menentang Bahrain (22 Mac ini) tetapi jika diundi dalam kumpulan sama, terpaksalah persahabatan itu dibatalkan dan digantikan dengan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kim Swee turut mengakui skuad negara berharapkan tuah undian yang lebih menyebelahi mereka sekalipun menyedari tiada lawan dan laluan yang boleh dianggap selesa apabila tiba ke peringkat Kelayakan Akhir ini.
“Namun jika berdasarkan rekod lalu, kita mempunyai pencapaian yang tidak berapa baik apabila menentang pasukan dari Asia Barat dalam Balang 1 seperti Jordan, Oman dan Bahrain berbanding Filipina (seperti yang berlaku dalam Kumpulan A Pusingan Kedua Kelayakan lalu),” katanya yang akan berlepas ke Abu Dhabi, malam ini untuk menyaksikan undian itu.