Meskipun Annuar pernah mengeluarkan kenyataan mencadangkan dan sedia memberi laluan sekiranya Tunku Mahkota Johor itu bersetuju untuk bertanding jawatan presiden, namun katanya, senario tersebut pada masa ini sudah berubah.
Kata Annuar, beliau mesti mempertahankan maruahnya selepas dilontar dengan pelbagai tohmahan termasuk didakwa menggunakan dana Majis Amanah Rakyat (Mara) sehingga mencabar integriti dan rekod khidmatnya kepada masyarakat selama ini.
“Saya tidak menafikan pernah mengeluarkan kenyataan dan ada menghubungi serta mencadangkan TMJ bertanding, tetapi selepas itu senario telah berubah kerana saya telah difitnah menggunakan dana pelajar, memaksa Mara, maka saya ada maruah.
“Saya adalah ahli politik yang bukan kaya, bukan ada duit, tetapi harga diri saya adalah integriti dan khidmat saya. Apabila integriti dan khidmat saya dicabar, maka saya mesti mempertahankannya.
“Dalam soal bola sepak, integriti saya sudah tercabar, maka saya ada pendirian saya sendiri dalam soal pertandingan ini, bukan soal menang atau kalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini malam tadi.
Baru-baru ini, Tunku Ismail menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan No. 1 FAM itu setelah mendapat restu daripada ayahanda beliau, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Manakala Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin masih menunggu Tunku Ismail yang juga Tengku Mahkota Johor (TMJ) mengesahkan status pencalonannya untuk pertandingan jawatan tersebut sebelum beliau membuat keputusan untuk turut bertanding atau tidak.
Mengulas lanjut Annuar berkata, sekiranya ditakdirkan berlaku pertandingan, beliau berharap ia akan berlangsung dalam keadaan penuh harmoni.
“Saya tidak akan melakukan kempen, tidak ada kumpulan-kumpulan tertentu dan tidak akan guna pendekatan lobi melobi dalam merebut jawatan presiden itu nanti.
“Biarlah proses demokrasi itu dapat diamalkan dalam pertandingan nanti. Kalau sekarang kita bercakap soal integriti, bersih, biarlah dimulakan semasa proses pemilihan. Saya juga tidak akan menyentuh soal sesiapa pun individu yang bertanding, saya cuma bawak diri saya sahaja,” katanya.
Terdahulu Annuar disambut oleh lebih 1,000 penyokongnya yang menanti bagi menyatakan sokongan penuh terhadap beliau yang dikaitkan dengan dakwaan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Mara.