Legenda bola sepak Malaysia itu menegaskan maruah skuad negara segera dipulihkan dan kedudukan mereka dalam ran­king Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) diperbaiki.

Ketua pasukan negara yang layak ke Olimpik Munich 1980 itu berkata, berdasarkan kedudukan semasa, pencapaian skuad negara dilihat kian merosot dan ketinggalan berbanding negara rantau Asia Tenggara yang lain seperti Thailand dan Vietnam.

“Kita tidak kisah siapa yang bakal dipilih untuk menjadi Pre­siden (FAM), tetapi individu itu mestilah meningkatkan kembali prestasi pasukan kebangsaan dan bawa ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah penting kerana beliau menanggung harapan semua rakyat Malaysia yang sayangkan bola sepak negara dan mahu melihat pasukan kita kembali bersaing serta mencabar negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di kediaman bapanya Soh Tee Tong sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Kolam Air, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chin Aun yang lebih dikenali sebagai Tauke berkata, pemimpin yang terlibat dalam pentadbiran baharu FAM nanti juga mesti mereka yang mahir dalam selok-belok pe­ngurusan sukan tersebut supaya kualiti dan prestasi Harimau Malaysia dapat ditingkatkan.

Katanya, jurang bola sepak negara kini dengan negara seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara lain di Asia Tengah, sangat ketara.

“Jangan kita cerita mengenai persaingan di peringkat Piala Asia atau setaraf dengannya lagi buat masa ini kerana apa yang penting, perbaiki dahulu kedudukan kita di Asia Tenggara setelah negara seperti Myanmar dan Indonesia semakin meningkat naik,” kata­nya.

Pemilihan Presiden FAM yang baharu untuk menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dilangsungkan pada Mac depan.

Setakat ini hanya bekas Pre­siden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang telah mengesahkan akan bertanding bagi merebut jawatan itu. Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah mendapat restu daripada ayahanda baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk bertanding jawatan No.1 FAM itu bagaimanapun sehingga kini masih belum membuat kenyataan sama ada akan turut bersaing.

Seorang lagi yang dicalonkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pula menunggu Tunku Ismail mengesahkan status pencalonannya sebelum beliau sendiri membuat keputusan untuk turut bertanding atau tidak.