Skuad Persatuan Bola Sepak India Malaysia itu menang 5-3 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya, hari ini.

Jacob turut memuji aksi cemerlang yang ditampilkan penyerang dari Cameron, Bodric Dimtri selepas meledakkan empat gol, sekali gus menjadi faktor pasukannya melakar kemena­ngan pertama mereka.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana pada awalnya saya menjangkakan kita mampu seri sahaja tetapi sebaliknya terjadi apabila kita menang.

“Sudah pasti tiga mata amat penting untuk kita. Kemenangan ini juga menaikkan moral pemain selepas tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.

“Lebih membanggakan saya adalah pemain memberi aksi 120 peratus dalam perlawanan ini walaupun pada 35 minit pertama kita ketinggalan 0-2.

“Saya terpaksa mengambil risiko dengan menukar strategi kepada serangan dan ia berhasil. Kehadiran Dimtri jelas me­ngubah rentak permainan,” kata Jacob kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Turun sebagai pilihan, JDT II mendahului 2-0 pada 30 minit pertama permainan menerusi Nicholas Fernandez dan MD. Rozaimi Abdul Rahman.

Namun MISC-MIFA bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sebelum memasuki waktu rehat melalui jaringan Dimtri dan penyerang dari Nigeria, Michael Ljezie.

Bersambung babak kedua, Dimitri terus merobek gawang lawan pada minit ke-49, namun disamakan semula oleh JDT II menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Fernandez.

Dimtri bagaimanapun memastikan kemenangan tuan rumah dengan menokok dua lagi gol pada minit ke-77 dan 90.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan di Stadium UiTM Shah Alam, Perlis berjaya mengikat UiTM 2-2.