Angel Di Maria menjaringkan dua gol untuk juara Perancis itu pada hari jadinya yang ke-29 di Parc des Princes manakala Julian Draxler dan Edinson Cavani yang menyambut hari jadi ke-30 juga menemui sasaran ketika pasukan tuan rumah menampilkan prestasi menakjubkan.

Keputusan itu meletakkan se­belah kaki PSG di suku akhir untuk musim kelima berturut-turut manakala Barcelona hampir ter­singkir di pusingan ini untuk kali pertama sejak kalah kepada Liverpool pada 2007.

Hari ini adalah paling buruk untuk skuad Catalans itu di Eropah sejak kalah 7-0 dari segi agregat kepada Bayern Munich dalam separuh akhir 2013, dan tiada pa­sukan yang pernah mara selepas kalah 4-0 dalam pertemuan pertama.

“Sukar untuk dijelaskan. Mereka lebih kuat daripada kami sejak awal lagi.

“Ada masanya sepanjang 15 minit dalam separuh pertama yang kami lebih bagus, tetapi selebihnya PSG menyerang balas dengan pantas dan mencipta banyak peluang.

“Malam yang sungguh buruk untuk kami. Mereka berkuasa sepenuhnya. Tiada yang lain dapat dikatakan,” akui Enrique.

Bekas pemain sayap Real Madrid, Di Maria menjaringkan gol sulung menerusi sepakan bebas pada minit ke-18 dan bintang Jerman, Draxler menonjolkan diri dalam perlawanan pertamanya di peringkat Eropah untuk PSG dengan menjaringkan gol kedua lima minit sebelum rehat.

Di Maria menghasilkan gol kedua peribadi menerusi sepakan lencong 10 minit selepas perlawanan bersambung dan Cavani me­nyempurnakan penguasaan mereka dengan menghasilkan golnya yang ke-34 dalam kempen ini pada minit ke-71.

PSG sebelum ini dua kali di­singkirkan daripada Liga Juara-juara oleh Barca dalam tempoh empat musim, tetapi kekalahan 3-1 di tempat sendiri kepada gergasi Sepanyol itu pada 2015 merupakan kali terakhir mereka kalah daripada 42 perlawanan peringat Eropah di Stadium Parc des Prin­ces.

Unai Emery pula memenangi perlawanan pertamanya dalam 23 pertemuan dengan Barcelona sepanjang karier menjadi jurulatih, dan wajar mendapat pujian selepas pasukannya menguasai petemuan ini sebaik sahaja permainan bermula.

Lionel Messi, Neymar, Luis Suarez dan Andres Iniesta ke­semuanya gagal memainkan pera­nan dengan berkesan sementara pemain seperti Draxler, Di Maria, Adrien Rabiot dan Thomas Meunier pula hebat bersama PSG.