Setiausaha Pafa yang juga pengurus pasukan Bos Gaurus, Datuk Jamal Mat Aris berkata, penyokong kedua-dua pasukan diminta mempamer disiplin yang tinggi dengan menonton perlawanan tersebut secara berhemah.
“Kita minta penonton dan penyokong setia Perak datang ke stadium dan menonton perlawanan secara berhemah. Jangan membuat provokasi atau membawa bahan-bahan berbahaya yang boleh menyebabkan pasukan Perak didenda.
“Begitu juga dengan penyokong JDT. Kita minta mereka ikut arahan keselamatan yang diberi. Jangan mengeluarkan kata-kata kesat, kain rentang dan lagu-lagu yang boleh menimbulkan provokasi kepada pasukan lawan.
“Ini adalah satu perlawanan bola yang mana kita datang stadium untuk menonton dan menyokong pasukan. Kita telah sampai di tahap yang tidak perlu lagi bergaduh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, kawalan keselamatan di Stadium Perak telah diatur sebaiknya dengan tidak kurang 2,000 anggota keselamatan ditugaskan untuk menjaga keselamatan sepanjang perlawanan tersebut.
Katanya, pihaknya juga telah berhubung dengan beberapa kelab penyokong di negeri ini dan meminta mereka memaklumkan kepada penyokong supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan.
“Kita membuat kawalan keselamatan yang terbaik dimana kita telah ada beberapa prosedur untuk dilaksanakan. Kita juga telah belajar daripada insiden tahun lepas dan kali ini keadaan akan terkawal.
“Penyokong Perak diminta agar tidak timbulkan kekecohan. Apabila ia berlaku, yang rugi adalah pasukan sendiri dimana kita bukan sahaja didenda malah terpaksa bermain tanpa penonton,” katanya.