Perak meleburkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah JDT dalam Liga Super sejak musim lalu selepas menundukkan skuad Benjamin Mora itu 2-1 di Stadium Perak, Ipoh semalam.
Tunku Ismail berkata, beliau tidak mahu panik sebaliknya masih mempunyai banyak masa untuk memperbetulkan masalah dan menggesa pemain agar tidak terganggu dengan kekalahan tersebut.
“Saya tahu kita tidak memulakan liga dengan baik musim ini terutama kerana kesilapan saya. Dengan meminjamkan Hariss (Harun), menjual penyerang kami untuk mengurangkan kos dan membeli dua pemain yang salah.
“Kami akan memperbaikinya menjelang Mei dan untuk musim 2018 saya berjanji kita akan mempunyai pasukan yang sangat kuat,” katanya dalam Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.
Dalam pada itu, biarpun tewas Tunku Ismail tetap memuji pemainnya kerana telah menunjukkan usaha terbaik apabila mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri dalam aksi liga selain menjuarai tujuh gelaran serta mencipta pelbagai sejarah.
Kata Tunku Ismail lagi, ketika ini wang menjadi keutamaan kelab yang mana beliau perlu mendapatkan semula semua perbelanjaan yang dikeluarkan selama beberapa tahun malah turut memberi bayangan akan melakukan rombakan.
“Kami telah melalui lima tahun yang hebat. Jangan biarkan beberapa kekalahan mengganggu anda. Masanya akan tiba. Saya akan melakukan sedikit perubahan pada Mei dan yang besar-besaran pada Disember. Ia bukan salah jurulatih,” katanya lagi.
Memegang reputasi juara Liga Super tiga musim berturut-turut, JDT bagaimanapun hanya menang sekali daripada empat perlawanan musim ini, sekali gus menduduki tangga kelapan liga.