Antara pemain yang mengalami kecederaan ialah Alessandro Cellin, Muhammad Ghaddar, Mohd. Norfarhan Mohamad, Daudsu Jamaluddin dan beberapa lagi pemain.

Pengendalinya, Zahasmi Ismail bagaimanapun berkata, ketiadaan beberapa pemain utama sama sekali tidak menggugat fokus The Red Warriors (TRW) untuk kembali bangkit selepas tumbang dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, dia akan menggunakan pemain yang ada untuk merencanakan ramuan terbaik berdepan Perak walaupun ia bukan satu tugas mudah.

“Kekuatan utama Perak ialah dibahagian sayap kerana mereka mempunyai pemain yang cukup lincah. Jadi kita perlu awasi jika mahu menang.

“Saya juga berharap pemain TRW dapat mengubah sikap mudah mengalah dengan tampil memperagakan semangat juang tinggi pada pertemuan itu nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zahasmi berkata, sikap mudah putus asa itu dilihat menjadi salah satu punca kekalahan dalam tiga perlawanan terdahulu.

Katanya, semangat juang tinggi itu akan menjadi senjata kepada TRW untuk kembali bangkit menebus kekecewaan selepas tumbang kepada Selangor tempoh hari.

“Kita tidak boleh lagi tewas pada perlawanan ini, jadi pemain perlu memberikan komitmen sepenuhnya berdepan Perak dan mengikut segala perancangan yang telah ditetapkan.

“Besar harapan saya, untuk menjadikan pertemuan dengan Perak sebagai platfrom kebangkitan semula TRW dalam saingan Liga Super,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zahasmi mahu tonggak pertahanannya Mamadou Danso bangkit dan kembali ke prestasi sebenar pada pertemuan dengan Perak

Tambahnya, sejak akhir-akhir ini Danso dilihat beraksi dibawah keupayaan sebenar dan tidak sebelum ini sekaligus menyaksikan pemain tersebut kurang efektif membantu pasukan.