Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, percaturan posisi tersebut akan dibuat nanti dengan melihat strategi dan taktikal permainan. Mora bagaimanapun tidak memberitahu bila Tunku Mahkota Johor (TMJ) akan beraksi selaku pemain.
Katanya, mungkin pada permulaan dia akan meletakkan TMJ untuk bermain selama dua minit, kemudian lima minit dan mungkin selepas itu bermain lebih lama lagi.
“Bila-bila masa beliau (TMJ) mahu dan cergas mungkin kita akan letakkan sebagai pertahanan tengah atau penyerang, bergantung kepada strategi dan taktikal.
“Prestasi beliau baik, beliau berusaha dan secara jujur TMJ bukannya pemain profesional dan perlu bekerja keras untuk meningkatkan kecergasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bila TMJ akan diturunkan bersama JDT selepas Harimau Selatan menang 2-0 ke atas Sarawak dalam perlawanan Liga Super, di sini semalam.
Terdahulu, dalam beberapa rakaman video sebelum ini, Tunku Ismail dilihat memiliki kemahiran untuk menjadi seorang penyerang.
Sekiranya Tunku Ismail didaftarkan sebagai pemain Harimau Selatan ketika jendela perpindahan pemain Mei ini, ada kemungkinan bahagian serangan adalah posisi terbaik yang bakal diisi oleh beliau.
Mengulas lanjut, Mora berkata, sebagai jurulatih JDT beliau berasa bangga kerana pemilik kelab mereka bakal mencipta sejarah selaku bos pertama menjadi pemain dalam pasukan sendiri.
“Beliau telah turun berlatih bersama pasukan jika berpeluang kerana banyak komitmen lain sebagai TMJ di samping tanggungjawabnya kepada rakyat.
“Beliau akan menjalani latihan seperti berlari dan sebagainya dan bila masa kita boleh dan beliau bersedia, kita akan turunkan beliau sebagai pemain,” ujarnya.