Pada perlawanan tersebut United terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Henrikh Mkhitaryan sewaktu minit ke-35 namun jaringan pemain tuan rumah, Aleksandr Bukharov sewaktu minit ke-53 sekali gus memerlukan skuad bimbingan Jose Mourinho bekerja lebih keras pada aksi timbal balik di Old Trafford 16 Mac ini.
Kata Mourinho, keadaan padang yang tidak begitu baik di Stadium Olimp-2 menjadi salah satu faktor pasukannya sukar untuk bermain dengan baik pada perlawanan tersebut.
“Prestasi permainan anda pasti ada kaitan dengan keadaan tempat anda bermain.
“Mustahil juga buat kami untuk bermain dengan baik pada perlawanan hari ini terutama apabila mahu melakukan hantaran.
“Kami bermain dengan permainan yang diinginkan dan beraksi sebaiknya namun tidak dapat mengelak daripada melakukan kesilapan di bahagian pertahanan.
“Kami telah menjadikan aksi perlawanan kedua nanti lebih terbuka buat kedua-dua pasukan dan ketika ini tiada pemain yang cedera,” kata Mourinho.
Sebelum perlawanan, United merungut berkenaan permukaan padang serta menyatakan kerisauan tentang keselamatan penyokong mereka yang mungkin akan menjadi sasaran samseng bola sepak Rusia.
Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila lebih 200 penyokong United disambut baik penyokong tempatan selain tiada insiden buruk terjadi.