Selepas tumpas 4-0 dalam perlawanan pertama di Paris bulan lalu, kebangkitan luar biasa itu bukan sahaja membolehkan juara Liga Sepanyol tersebut melangkah ke suku akhir menerusi agregat 6-5, malah menjadi pasukan pertama dalam sejarah Eropah berjaya mengatasi defesit empat gol di peringkat kalah mati.
Penjaring gol kemenangan, Sergi Roberto mengakui, dia tidak pasti sama ada jaringan yang dihasilkan pada masa kecederaan dikira sebagai gol yang sah.
“Saya melakukan apa sahaja. Saya sendiri tidak tahu sama ada saya berada dalam keadaan tidak ofsaid. Saya sangat gembira.
“Saya merebahkan badan di atas padang dan kemudian melihat penjaga gol (Kevin Trapp) tidak menghalang percubaan saya,” kata Roberto kepada BeIn Sports.
Tuan rumah menunjukkan kesungguhan untuk bangkit dengan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Luis Suarez dan gol sendiri Layvin Kurzawa, sebelum Lionel Messi meledak gol ketiga di awal separuh masa kedua hasil sepakan penalti yang menghidupkan peluang kelab Catalan itu untuk mengubah nasib mereka.
Namun, gol Edinson Cavani pada minit ke-62 membolehkan PSG kembali bernafas, sehinggalah jaringan menerusi sepakan percuma dan penalti Neymar beberapa minit berselang membuka laluan buat Sergi Roberto memburu gol keenam pada minit ke-95, yang sekali gus melayakkan Barca ke suku akhir.
“Orang kata penyokong ibarat tambahan seorang lagi pemain tetapi hari ini, kehadiran mereka menjadikan kami seolah-olah menerima lebih daripada tambahan 10 pemain. Pada akhirnya, kemenangan ini adalah untuk mereka.
“Sekarang saya mahu meraikan kejayaan ini dan memikirkan tentang perlawanan liga (menentang Deportivo La Coruna, Ahad ini),” kata Roberto lagi.
Pemain tengah, Ivan Rakitic pula berkata, yakin terhadap diri sendiri adalah rahsia Barcelona melakar kejutan ‘gila’.
“Sukar untuk mempercayainya, ini sesuatu yang mustahil. Dalam 15 hingga 20 minit selepas perlawanan keadaan masih gila dan kami masih tidak percaya.
“Terima kasih kepada pasukan, mereka yang berada di sekeliling kelab dan juga peminat. Ini adalah hari yang istimewa dan sukar untuk menyatakan sesuatu.
“Perlawanan pertama di Paris memang memeritkan buat kami, ramai yang melemparkan kritikan terhadap pasukan tetapi reaksi balasnya cukup istimewa. Ia satu sejarah. Kami mahu terus berjuang.
“Kami percaya, 4-0 itu sesuatu yang sukar tetapi inilah bola sepak. Kami pernah menyaksikan Super Bowl, sesuatu yang mustahil dalam sukan. Ini Barcelona, pasukan terbaik di dunia dan kami meneruskan impian kami dalam Liga Juara-Juara,” kata Rakitic.