Kemenangan itu membolehkan United mengumpul 52 mata untuk memintas kedudukan Arsenal yang mengumpul 50 mata selepas tewas mengejut kepada West Bromwich Albion 1-3 di gelanggang lawan semalam.
Walaupun diberi tentangan sengit, United dilihat lebih bijak memanfaatkan peluang yang terhidang menerusi serangan balas pantas dengan mendahului menerusi jaringan Marouane Fellaini hanya selepas 30 minit permainan berlangsung.
Biar pun diasak hebat Middlesbrough sebaik sahaja babak kedua bermula, United ampuh bertahan sebelum usaha keras anak buah Jose Mourinho itu dibalas dengan gol kedua menerusi Jesse Lingard pada minit ke-62.
Bagaimanapun usaha Middlesbrough untuk bangkit tidak pernah padam sebaliknya dalam tempoh 15 minit terakhir permainan mereka terus mengasak dan merapatkan kedudukan menerusi Rudy Gestede pada minit ke-77.
Ketika ghairah mencari gol penyamaan, Middlesbrough dikecewakan oleh gol ketiga United menerusi Antonio Valencia pada masa kecederaan hasil kesilapan penjaga gol mereka Victor Valdes yang terlepas bola daripada jangkauannya selepas tergelincir di depan gawang sendiri.
Dengan keputusan itu, United hanya dipisahkan tiga mata di belakang Liverpool sekali gus berpeluang menghidupkan peluang untuk sekurang-kurangnya meraih slot ke Liga Juara Juara Eropah musim depan.