Pemain kelahiran Brazil yang dibesarkan di Jepun ini menerima undian tertinggi sebanyak 1,689 untuk mengalahkan empat calon lain.

Calon lain ialah Shahrel Fikri dari Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang mendapat 1,081 undi, Lutfulla Turaev dari Terengganu (354), Dimitri Bodric dari MISC-MIFA (137) dan Dao Bakary dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) (11).

Bruno menerima hadiah wang tunai RM500 sumbangan 139associates dan MVP Sports Agency, trofi sumbangan Ideasia, baucer barangan sukan dari Kobert yang bernilai RM500 dan gambar berserta bingkai pemain sumbangan Asiana.my.

“Saya gembira kerana mendapat anugerah ini bagi kali pertama dan pastinya kejayaan ini akan membakar semangat saya untuk beraksi lebih baik.

“Kejayaan ini juga untuk pengurusan pasukan dan rakan sepasukan yang sentiasa memberi kerjasama di atas padang dan tidak lupa juga pada penyokong yang mengundi saya,” katanya selepas menerima anugerah itu di sini hari ini.

Anugerah disampaikan Presiden PFAM Hairuddin Omar, Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Asri Ninggal berkata, pemilihan Bruno sebagai Pemain Terbaik Februari memberi suntikan semangat untuk pasukannya bertemu Sabah, Sabtu ini.

“Ini adalah pertama kali satu pengiktirafan kepada pasukan Negeri Sembilan. Walaupun Bruno yang menang, seperti yang dikatakan Bruno tadi trofi yang dia menang itu hasil usaha semua pemain.

“Satu suntikan moral kepada pasukan dan saya rasa pemain-pemain lain pun rasa nak jadi macam Bruno bagi mendapatkan anugerah untuk bulan-bulan seterusnya,” katanya.

Mengenai persiapan bertemu Sabah, Mohd. Asri berkata, beliau akan memastikan anak buahnya kekal fokus mengejar kemenangan dan melaksanakan strategi yang telah dirancang.

“Di Sabah pun mungkin mereka sudah membuat persiapan rapi sebab mereka pun mungkin nak tebus kekalahan di pusingan pertama,” katanya.

Anugerah bulanan PFAM-asiana.my adalah pengiktirafan buat pemain-pemain terbaik yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).