Untuk mengukuhkan lagi usaha mereka memerangi rasuah bola sepak, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki telah dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Integriti FAS.

Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal berkata tindakan mereka hari ini adalah sebagai menyahut seruan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang amat menitikberatkan soal integriti.

“Sebaik sahaja Tunku Ismail dilantik sebagai Presiden FAM yang baharu, salah satu perkara utama yang disebutkan oleh beliau adalah mahu FAM berada dalam keadaan berintegriti, ber­amanah dan berhemat. Jadi, kami menyahut saranan presiden.

“Sebelum ini, Jawatankuasa Integriti FAS diuruskan oleh Exco kami namun buat kali pertamanya dalam mesyuarat Exco pada baru-baru ini, kami telah bersepakat melantik pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan FAS untuk menguruskan Jawatankuasa Integriti.

“Terima kasih kepada Datuk Azam kerana bersetuju untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAS selama satu penggal. Pada masa sama, saya juga mohon semua persatuan bola sepak dapat mengadakan program seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah, FAS dan SPRM di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azam yang ditanya mengenai tahap keseriusan gejala rasuah dalam kalangan pemain berkata, masalah itu masih berlaku tetapi tidak mencapai tahap membimbangkan.

“Isu rasuah dalam kalangan pemain bola sepak Malaysia masih belum selesai kerana untuk membuktikan kesalahan rasuah bukan perkara mudah tapi saya tidak menolak memang berlaku di mana bookie sentiasa mencari peluang untuk mendekati pemain.

“Bagaimanapun, masalah rasuah itu tidak membimbangkan tapi kami tidak mahu ia berada di tahap yang serius,” katanya.

Azam memiliki pengalaman untuk memegang jawatan tersebut bertepatan kerana beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Integriti FAM.

Dalam perkembangan ber­asingan, Subahan yang merupakan Timbalan Presiden FAM mengakui beliau masih belum mendapat gambaran portfolio yang akan diketuainya dalam badan induk bola sepak negara itu.

Beliau berkata, semua dalam barisan baharu kepemimpinan baharu FAM berkemungkinan mengetahui tugas masing-ma­sing selepas mesyuarat pertama Exco di bawah pimpinan Tunku Ismail di Kota Kinabalu pada 8 April ini.