Presiden kelab, Datuk T. Mohan berkata, bukti tersebut diperoleh hasil pemantauan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan selepas menyedari wujudnya kegiatan itu dalam kalangan pemain.

Beliau berkata, pihaknya mula mengesyaki sesuatu apabila beberapa pemain utama tidak me­nunjukkan prestasi baik dalam aksi Liga Perdana berbanding semasa perlawanan persahabatan.

Kelab itu juga tewas dalam beberapa perlawanan liga dengan keputusan yang seolah-olah sudah dirancang.

“Kita menerima aduan pihak tertentu mengenai tiga pemain ini. Pada mulanya saya tidak percaya namun jawatankuasa tersebut mendapat bukti mereka ada berjumpa bookie dan kita telah buat laporan kepada SPRM pada Jumaat lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas penahanan tiga pemain kelab itu oleh SPRM selepas disyaki menerima rasuah sebagai habuan untuk mengatur keputusan perlawanan.

Salah seorang daripada mereka pemain import berusia 29 tahun manakala dua lagi pemain tempatan berusia 26 dan 27 tahun.
Mereka yang dikatakan menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie ditahan ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut Mohan, pihaknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan nasib ketiga-tiga pemain akan ditentukan selepas siasatan berkenaan.

Ujarnya lagi, kelab itu sentiasa menjaga kebajikan dan tidak pernah lewat membayar gaji.