Jurulatih dari Indonesia itu berkata, dia akan memastikan anak-anak buahnya melupakan kejayaan membenam Kedah kerana apa yang lebih mustahak kini adalah persediaan rapi untuk melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dia juga tidak mahu pemain T-Team berasa ‘besar diri’ ekoran kemenangan besar minggu lalu kerana sikap sebegitu boleh merencatkan semangat untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
“Saya mahu pemain T-Team melupakan kemenangan kita tempoh hari. Kita kena kerja dari mula. Kalau pemain rasa ‘besar diri’, itu saya tidak suka.
“Apa yang kita mahu adalah pemain kita betul-betul buat persiapan sebaik mungkin (sebelum menentang Selangor),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rahmad memberitahu, meskipun T-Team kehilangan tonggak tengah Fakrurazi Musa yang digantung perlawanan kerana menerima tiga kad kuning, semangat juang pasukan tidak terjejas dan posisi itu akan diisi pemain setanding.