Gol memukau Emre Can menerusi sepakan gunting membolehkan Liverpool mengutip tiga mata di Vicarage Road, sekali gus me­ngumpul 69 mata, empat mata di atas pasukan tangga kelima, Manchester United.

Manchester City mengekori di tempat keempat menerusi 66 mata. Empat pasukan teratas layak ke Liga Juara-Juara.

Nasib Liverpool kini terletak di tangan mereka sendiri. Jika menang ke atas Southampton, West Ham dan Middlesbrough, ia akan mengembalikan mereka ke kancah elit Eropah.

“Kami perlu kekal fokus dan memberi tumpuan. Kami akan berdepan tekanan sehingga peng­hujung musim tetapi tekanan yang kami harungi ini adalah sesuatu yang positif. Ini bermakna kami sedang berjuang untuk mencapai sesuatu.

“Jadi, kami akan melakukan apa sahaja untuk mengutip mata yang boleh diraih tetapi ia bukan tugas mudah.

“Jika orang fikir tiga mata sudah dalam genggaman ketika menentang Southampton, ini bermakna mereka tidak pernah melihat pasukan itu beraksi musim ini. Southampton satu lagi pasukan yang kuat,” kata jurulatih dari Jerman itu.

Can memastikan tiga mata penuh menjadi milik Li­verpool pada waktu kecederaan babak pertama selepas menyambut hantaran Lucas Leiva dengan sepakan gunting yang menewaskan penjaga gol lawan, Heurelho Gomes.

Klopp memuji kerja keras dan semangat juang pemain tengah Jerman itu, yang bertarung de­ngan kecederaan betis sejak 12 bulan lalu.

Sementara itu, Klopp mengesahkan perancang utama Brazil, Philippe Coutinho ditimpa kece­deraan dalam perlawanan hari ini.

Coutinho yang menjadi tonggak penting Reds musim ini ce­dera selepas berlaga de­ngan pertahanan Watford, Adrian Mariappa di awal permainan, dan diganti dengan Adam Lallana.

Paha Coutinho kemudian kelihatan berbalut.

“Dia ditimpa kece­deraan kaki. Harap ia tidak terlalu serius.

“Namun sudah tentu ia amat menyakitkan dan dia memang tidak boleh meneruskan aksi,” kata Klopp.

Coutinho bagaimanapun percaya, kecederaan yang dialami tidak serius dan meminta penyokong Liverpool akan tidak terlalu bimbang.

“Ia tidak serius,” kata pemain berusia 24 tahun itu dalam Twitter.