Hukuman tersebut diumumkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), yang turut mengenakan tindakan sama terhadap tiga lagi pasukan iaitu T-Team (Liga Super) dan dua pasukan Liga Perdana, Perlis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam setiap pasukan perlu mengemaskini bukti pembayaran gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum bermulanya saingan Liga M pada musim ini.
“Pada setiap permulaan liga, setiap pasukan perlu mengemaskini bukti pembayaran gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN. Mana-mana pasukan yang belum melakukannya kami telah menghubungi mereka untuk mengemaskini termasuk peringatan kedua dihantar.
“Bagaimanapun, apabila tiba masanya untuk kita menjatuhkan hukuman, terdapat empat pasukan yang belum mengemaskini atau memberi jaminan bahawa gaji, KWSP, Perkeso dan LHDN pada tahun-tahun sebelum ini sudah dibayar dengan sepenuhnya.
“Keempat-empat pasukan tersebut adalah dua daripadanya beraksi di Liga Perdana iaitu Perlis dan ATM manakala dua lagi daripada Liga Super iaitu Kelantan dan T-team.
“Setelah berbincang dengan Lembaga Pengarah FMLLP, kami menjatuhkan hukuman penolakan enam mata liga untuk setiap pasukan dengan berkuat kuasa serta-merta. Kami juga mengenakan larangan perpindahan pemain terhadap keempat-empat pasukan tersebut yang akan dibuka pada 15 Mei ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan FMLLP mendedahkan lima pasukan berdepan hukuman pemotongan mata ekoran gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain mereka.
Utusan Malaysia juga melaporkan Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan Kelantan telah mendapatkan khidmat penyerang dari Gambia, Sanna Nyassi menggantikan Alessandro Celin yang mengalami kecederaan jangka panjang serta melantik Alfredo Carlos Gonzales sebagai pengarah teknikal pasukan.
“Kelantan akan berdepan masalah dalam musim perpindahan pemain ini. Namun, jika pemain baharu itu dibeli dengan harga yang lebih murah daripada pemain yang ingin digantikan maka pembelian itu dibolehkan,” katanya.
Peruntukan terbabit adalah sama dengan undang-undang Financial Play FIFA (FFP) yang diperkenalkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) khusus bagi menyekat setiap pasukan daripada berbelanja tanpa kawalan.