VIGO, Sepanyol 5 Mei – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan Marcus Rashford sebagai ‘kanak-kanak yang jatuh cinta dengan bola sepak’ selepas sepakan bebasnya membantu Red Devils menang 1-0 ke atas Celta Vigo dalam separuh akhir pertama Liga Europa hari ini.
Penyerang berusia 19 tahun itu memperdayakan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez yang berpunca dari situasi bola mati, sekali gus memastikan United membawa pulang bekalan gol dari tempat lawan sebelum kembali ke Old Trafford untuk separuh akhir kedua Khamis depan.
Rashford telah meledak empat gol dalam tempoh sebulan, termasuk jaringan dramatik yang membantu United mencatat kemenangan ke atas Anderlecht pada masa tambahan perlawanan suku akhir.
Prestasi bagusnya hadir tepat pada waktunya ketika United kehilangan penyerang berprofil tinggi Zlatan Ibrahomivic akibat kecederaan panjang.
“Marcus Rashford adalah seorang kanak-kanak berusia 19 tahun yang jatuh cinta dengan bola sepak.
“Dia pemain muda yang sanggup bekerja keras dengan menjalani latihan tambahan lebih setengah jam setiap hari untuk melakukan sepakan bebas dan dia hanya menunggu peluang untuk mengambil tendangan dalam perlawanan sebenar.
“Apa yang membezakannya adalah mentaliti. Dia bekerja dan bekerja dan terus bekerja. Dia sangat matang, jadi mari kita lupakan mengenai usianya kerana apa yang penting bukan usia, tetapi kualiti,” kata Mourinho dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Pemain antarabangsa England itu bagaimanapun menimbulkan keresahan buat United apabila kelihatan terhincut-hincut sehingga terpaksa digantikan oleh Anthony Martial ketika permainan berbaki 15 minit.
Dalam perlawanan di Stadium Balaidos itu, Alvarez muncul wira tuan rumah dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya United pada separuh masa kedua, termasuk menafikan tendangan Rashford, Henrikh Mkhitaryan dan Jese Lingard.
Namun begitu, tiada apa yang mampu dilakukannya apabila Rashford melepaskan rembatan kaki kanan ke penjuru kiri gawang pada minit ke-67, walaupun dia menerpa ke arah yang betul.
“Bola terlalu pantas. Penjaga gol membuat gerakan yang bagus, namun dia tidak sempat menahannya dan saya fikir percubaan itu sangat mustahil untuk dihadang,” kata Mourinho.
Sementara itu, penyerang Celta, John Guidetti yang kecewa dengan kekalahan pasukannya mengakui mereka patut belajar daripada taktik Mourinho.
“Pada akhirnya, kami kalah kerana situasi bola mati.
“Selepas jaringan itu, Mourinho yang sangat berpengalaman memberitahu pemainnya ‘tamatkan perlawanan dengan 1-0’. Kami tidak boleh bermain lagi pada 15 atau 20 minit terakhir, mereka menutup segala ruang,” kata Guidetti.