Sedar jaringan tunggal Marcus Rashford meletakkan pasukannya pada kedudukan baik untuk ke final Liga Europa, pengendali pasukan, Jose Mourinho nekad mahu merehatkan pemain tonggak apabila menentang Arsenal dalam pertembungan tumpuan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Kunjungan ke Emirates penting dalam perebutan empat tempat teratas Liga Perdana Inggeris – slot ke Liga Juara-Juara musim depan, namun Mourinho mahu memberi tumpuan kepada usaha menjuarai Liga Europa, pertandingan yang turut menawarkan tiket ke kejohanan kelab elit Eropah itu.
United kini menduduki tangga kelima, dipisahkan dengan satu mata di belakang pasukan tempat keempat, Manchester City dan lima mata mengatasi Arsenal yang berkedudukan keenam.
“Kita akan bahagi pemain kepada dua kumpulan kerana kami mengharungi sembilan perlawanan pada April dan termasuk aksi hari ini, kami ada 10 perlawanan dalam tempoh empat minggu setengah.
“Jadi, pemain yang dikumpulan dalam perlawanan ini tidak akan bermain dalam aksi berikutnya (menentang Arsenal),” kata Mourinho yang ditemui pemberita sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Manchester, hari ini.
Penjaring gol tunggal United ketika mengalahkan Celta Vigo, Rashford antara yang bakal diketepikan apatah lagi dia kelihatan terhincut-hincut ketika meninggalkan padang di Balaidos.
Ashley Young pula mengalami kecederaan hamstring, hanya 11 minit selepas dibawa masuk, hari ini.
Pada ketika Luke Shaw, Zlatan Ibrahimovic dan Marcos Rojo terpaksa disisihkan sehingga tamat musim akibat kecederaan, Mourinho boleh dianggap kurang pilihan pemain.
Namun begitu, situasi tersebut tidak merubah keputusannya untuk merombak pasukan apabila menentang Gunners.