LONDON 8 Mei – Setelah lima tahun, bekas kapten Argentina Diego Maradona kembali ke dalam arena bola sepak dengan kali ini menjadi jurulatih Al-Fujairah FC, kata kelab Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu hari ini.
“Saya ingin maklumkan kepada anda bahawa saya sekarang adalah jurulatih baharu Al-Fujairah, iaitu kelab divisyen kedua UAE,” kata Maradona menerusi laman sosial Facebook.
Kelab tersebut memuat naik gambar bekas penyerang Boca Juniors, Napoli dan Barcelona itu sedang memegang jersi Al-Fujairah merah dan putih, dengan nama dan No. 10 terpapar di belakang pakaian itu.
Penyerang berusia 56 tahun itu merupakan pemain yang mengetuai skuad kebangsaannya untuk memenangi Piala Dunia 1986 dan menjadi naib johan empat tahun kemudian.
Maradona pernah menjadi pengendali Argentina pada 2008 dan memimpin pasukan itu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia dua tahun berikutnya.
Kali terakhir menguruskan kelab adalah sebuah lagi kelab UAE, Al Wasl pada 2011, namun dipecat setahun kemudian.
Malah, dia juga merupakan duta FIFA selepas dilantik oleh presiden badan induk bola sepak dunia itu Gianni Infantino pada Februari lalu.