Blues kini hanya perlu menang satu daripada baki tiga perlawanan terakhir untuk menjulang trofi buat kali kelima, malah mereka berada dalam perebutan Piala FA apabila menentang Arsenal pada final 27 Mei ini.

“Ini adalah musim pertama saya di England dan Liga Perdana adalah kejuaraan yang sangat sukar.

“Saya gembira dengan pemain-pemain saya, mereka berhak meraih kejayaan ini.

“Apa yang kami tunjukkan sepanjang musim ini membuktikan kami berhak menjuarai liga.

“Kemenangan ke atas Middlesbrough ada­lah satu langkah besar, sekarang kami perlu menyempurnakan satu lagi ‘langkah kecil’ untuk muncul juara,” kata jurulatih kelahiran Itali itu kepada BBC.

Conte, 47, berkata, kekalahan 0-1 Tottenham kepada West Ham pada hujung minggu lalu memudahkan tugas pasukannya untuk memburu kejuaraan kedua dalam tempoh tiga tahun.

Chelsea akan dinobat sebagai juara jika menumpaskan West Brom di Halfords Lane, Jumaat ini.

Namun sekali pun gagal meraih tiga mata penuh dalam perlawanan itu, mereka masih memiliki dua aksi di tempat sendiri untuk diharungi – menentang Watford dan Sunderland.

“Saya kini lebih tenang. Kini kami perlu satu langkah lagi. Kami berpeluang menjulang trofi apabila menentang West Brom, Jumaat ini.

“Sudah tentu ia bukan tugas mudah kerana West Brom adalah sebuah pasukan yang bagus dan kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya,” kata Conte lagi.

Bagi Middlesbrough, kekalahan itu menyebabkan mereka ter­singkir ke Liga Kejuaraan musim depan selepas menghuni tangga kedua tercorot.

Dalam perlawanan di Stamford Bridge, Cesc Fabregas muncul arkitek kreatif Chelsea apabila mencipta gerakan untuk jaringan Diego Costa dan Nemanja Matic, manakala satu lagi gol disempurnakan oleh Marcos Alonso.

Fabregas memulakan musim ini dari bangku simpanan selepas N’Golo Kante dibawa masuk dan mengambil posisinya, namun pemain tengah itu mempamer kebangkitan luar biasa.

“Cesc antara pemain contoh musim ini kerana pada awal sai­ngan, dia jarang bermain.

“Namun, dengan usaha gigih­nya, dia menunjukkan peningkatan. Dia kemudian diberikan tempat dalam perlawanan sete­rusnya,” ujarnya.