Ketua jurulatih skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukannya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk bangkit melakar kemenangan.

Terengganu, juara 2011 dan 2000 tidak boleh seri atau tewas dalam perlawanan itu selepas kalah tipis 0-1 kepada Lang Merah dalam perlawanan pertama di Alor Setar, 30 April lalu.

“Kami sudah melupakan kekalahan lalu termasuk kepada Sabah (Liga Perdana pada 5 Mei) dan juga Kedah. Jadi, kami mahu pemain memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting menentang Kedah esok.

“Beraksi di tempat sendiri memberi kelebihan dan saya harap pemain dapat menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meraih kemenangan, seterusnya layak ke final,” katanya kepada pembe­rita selepas sesi latihan skuad Penyu di sini hari ini.

Menurut Irfan lagi, kecergasan dan kesihatan pemainnya berada pada tahap baik kecuali tonggak pertahanan Adib Aizuddin Ab. Latif yang mengalami kecederaan.

Mengenai tentangan yang bakal diberikan oleh skuad Lang Merah, jurulatih berpengalaman itu percaya lawan mereka tidak menunjukkan kekuatan sebenar dalam pertemuan pertama mereka dan itu menjanjikan aksi lebih sengit pada separuh akhir kedua esok.

“Dalam perlawanan lalu, Kedah dilihat tidak menurunkan sebahagian besar pemain utama…mungkin hendak memberi tumpuan kepada perlawanan esok. Namun tidak kira siapa pun yang diturunkan, kita akan beri tentangan sengit,” katanya lagi.

Perlawanan esok bakal me­nyaksikan persaingan sengit dan mungkin menjanjikan aksi lebih menarik kerana pengendali ke­dua-dua pasukan menerapkan taktikal berbeza, selain laungan penyokong yang mampu memberi motivasi kepada pemain.

“Di peringkat ini apa sahaja boleh berlaku dan kehadiran penonton Terengganu amat diperlukan,” kata Irfan lagi, yang mula mengendalikan pa­sukan Terengganu sejak awal tahun ini.