Kedah pernah menjuarai Piala FA pada 1996 dan kemudian mengulanginya sebanyak dua kali berturut-turut sejak 2007 dan kejayaan pada 2008 adalah kali terakhir mereka melakukannya.
Mereka akan bertemu Pahang di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini selepas menumpaskan Terengganu 3-0 dalam separuh akhir kedua di Kuala Terengganu malam tadi untuk mara ke perlawanan akhir dengan agregat 4-0.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata pihaknya akan mempertimbangkan ganjaran yang sesuai jika skuad Lang Merah menamatkan kemarau kejayaan.
Pada masa sama, Ahmad Bashah berkata kemenangan Kedah ke atas Terengganu dalam separuh kedua malam tadi membuktikan ketiadaan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan jurulatih Kedah untuk menyertai kem kebangsaan bukan penghalang kepada kejayaan, sebaliknya semangat berpasukan mendahului segala-galanya.
“Walaupun bermain di tempat lawan, skuad Lang Merah menampilkan permainan yang bermutu dan saya berpuas hati dengan prestasi pasukan ketika ini.
“Saya beri kepercayaan kepada pemangku jurulatih Mohd. Nidzam Adzha Yusoff untuk membimbing pasukan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Bashah turut menyeru semua penyokong Kedah agar memberi sokongan padu kepada Lang Merah dalam perlawanan akhir nanti.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Nidzam Adzha berkata meskipun Cheng Hoe tidak lagi bersama mereka namun tunjuk ajar bekas jurulatih mereka itu selama ini masih merupakan faktir penting kepada kejayaan Lang Merah.
“Alhamdulillah sekali lagi Kedah ke final, kunci utama memang sudah diterapkan oleh Tan Cheng Hoe, mereka (pemain) sangat akrab di luar dan dalam padang, bersefahaman serta mahir corak permainan macam ini.
“Sebenarnya tidak banyak kerja yang perlu saya buat, Cheng Hoe sudah memberi segala-galanya termasuk motivasi, bentuk bertahan dan bagaimana untuk menyerang.
“Saya cuma menyambung sahaja,” katanya.