LONDON 24 Mei – Selepas tiga hari tirai Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup, Sam Allardyce membuat kejutan apabila mengumumkan pengundurannya selaku pengurus Crystal Palace setelah lima bulan mengendalikannya, dengan alasan atas sebab-sebab keluarga.
Pengendali berusia 62 tahun itu, yang sebelum ini sempat membimbing England untuk satu perlawanan berkata, dia tidak bercita-cita untuk mengambil tugasan lain di samping mengakui telah merujuk kepada kelab trersebut.
Allardyce mengambil alih Palace daripada Alan Pardew pada bulan Disember lalu, dengan kontrak dua tahun setengah, sebelum mengetuai skuad Eagles untuk lapan kemenangan dalam 21 perlawanan. Mereka menamatkan saingan di tangga ke-14 dalam liga.
“Dalam beberapa situasi, ia satu keputusan yang sukar tetapi ada waktunya ia satu yang agak mudah untuk dilakukan.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Crystal Palace dan Steve Parish kerana memberi saya peluang untuk membimbing kelab sehingga kekal berada dalam saingan Liga Perdana.
“Selebihnya, mereka berikan saya ruang untuk membina semula reputasi selepas apa yang berlaku ketika bersama England.
“Saya rasakan begitu perlu untuk menjadi pengurus kelab EPL dan membuktikan yang saya berkemampuan mencapai sesuatu.
“Seperti saya katakan hujung minggu lalu, Palace memberikan saya peluang untuk memulihkan imej,” kata Allardyce menerusi satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama pengerusi kelab Steve Parish.