Aidil, 30, dan tiga lagi bintang JDT iaitu Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan disenaraikan oleh jurulatih baharu, Nelo Vingada untuk menghadapi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon di Larkin, 13 Jun ini.
Keempat-empat pemain tersebut sebelum ini mencetus kontroversi apabila mengumumkan persaraan secara mengejut pada Jun tahun lalu atas alasan peribadi.
Namun, mereka menyatakan kesediaan untuk kembali mewakili negara sebaik sahaja Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mac lalu.
“Secara jujur saya memang rindu untuk mewakili pasukan kebangsaan dan berbesar hati dipanggil semula menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya akan memberi yang terbaik dan komitmen 100 peratus kepada pasukan kebangsaan jika diberi kepercayaan untuk diturunkan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan Liga Super yang menyaksikan JDT menang 1-0 ke atas PKNS FC di Stadium Shah Alam, semalam.
Mengulas mengenai venue latihan skuad kebangsaan yang sebelum ini berpusat di Wisma FAM dan kini berpindah ke Larkin, Aidil berkata, ia tidak membawa perbezaan.
“Sebelum ini pun kita pernah berlatih di Johor dan bagi saya fasiliti yang ada di JDT adalah lengkap… cuma bezanya mungkin suasana baharu (sebelum ini berlatih FAM)
“Kita bakal diterajui jurulatih baharu dan pemain pun ada beberapa muka baharu.
“Kita tengok macam mana pada sesi pertama yang bermula 29 Mei ini untuk cuba mengenali satu sama lain,” jelasnya.
Aidil juga mengakui, dia perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana posisi bek tengah memiliki banyak pilihan yang baik.
“Sekarang pemain-pemain yang bermain di posisi saya pun bagus seperti Khairul Helmi Johari (Kapten Kedah),” katanya.